TAMUSALAM

اشْهَدُ انْ لّآ اِلهَ اِلَّا اللّهُ وَ اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدً اعَبْدُه وَرَسُولُه

I am the servant of ALLAH `Azzawajalla. I am nothing and I have nothing.


"Saya menulis kerana dalam perjalanan pulang; terlalu banyak pertanyaan yang belum terjawab & harus dijawab dalam hidup ini,dan dengan menulis mungkin salah satu cara mencuba menjawabnya satu persatu,semoga kita memahami substansi sesuatu-hakikat. InsyaAllah...."

Monday, November 8, 2010

Awas Godaan Dunia

Dunia sudah tua dan hampir tiba dipenghujung usia. Namun isi dunia ramai yang terus alpa diulik mimpi yang menipunya.   Masing – masing terus mengejar dunia sedangkan dunia itu sendiri tidak mampu untuk mengelak daripada kemusnahan yang sudah pasti menjelang tiba pabila datang masa dan saat ketikanya. Bumi yang dipijak tidak henti daripada melaknat isi dunia yang terus melanggar perintah Allah Tuhan Pencipta. Manakala langit turut merungut marah melihat makhluk yang tidak sedar diri terus mengganas di bawah teduhannya. Bumi terus beredar mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Allah sedangkan manusia tanpa segan silu melawan arus sehingga segala kewajipan agama terus terabai malah dibantah tanpa sekelumit pun perasaan gerun dan gentar yang timbul dalam hati disebabkan ia ditompoki dengan bintikan noda dan dosa yang mengotorinya. Betapa hebatnya godaan dunia sehingga ramai manusia menjadi gila kerana terlalu kagum dengan keindahannya yang penuh penipuan. 





-----------------------------------------------------------------------------------------------------


          Dunia menawarkan wanita sehingga ramai terpedaya dan terus hanyut dibaham ombak nafsu ganas yang sentiasa bergelora. Dunia mengiklankan wanita sebagai lambang seks yang mampu memenuhi tuntutan nafsu yang mahukan hiburan yang tidak terbatas. Dunia melupakan kita bahawa Islam telah menciptakan wanita sebagai makhluk yang bersopan santun dan berada di tempat yang mulia sebagai teman kepada kaum lelaki dalam meraih syurga Allah. Dunia menghasut agar wanita dibebaskan sebebasnya tanpa disekat oleh landasan agama kerana dengan cara ini maka wanita boleh dirosakkan dan dicalarkan maruahnya tanpa ada lagi pembelaan yang sewajarnya. Tertarikkah kita dengan hasutan jahat dunia sehingga membiarkan wanita Islam terus ditelanjangkan tanpa ada lagi rasa malu dan hormat kepada batas agama. Tertipukah kita dengan helah dunia yang menganggap wanita sebagai pemuas nafsu semata-mata disamping mewajibkan wanita berkerja di luar bidang yang sesuai dengan sifat kewanitaannya sebagai wanita yang terhormat. Adakah wanita akan menjadi lemah jika hanya dibenarkan berkerja dalam bidang yang sesuai dengan fitrah kejadiannya. Hinakah wanita jika menumpukan perhatian dalam bidang pendidikan dalam melahirkan anak watan yang taat setia kepada agama dan negara. Hebatkah wanita jika mereka dibiarkan berkerja dalam bidang yang dikhususkan untuk kaum lelaki sehingga hilang sifat kewanitaan dan keibuannya. Jawablah semua persoalan ini berdasarkan akal yang waras yang disuluhi cahaya wahyu.
          Dunia menawarkan harta sehingga ramai yang sanggup mati demi memperolehinya. Dunia menjadi kacau bilau apabila dipenuhi dengan manusia yang gilakan harta sehingga sifat kemanusiaannya terus hilang dari diri kerana masing-masing lebih sayangkan harta daripada kasih sayang. Dunia melahirka mausia yang ganas dan sentiasa bernafsu untuk membaham kawan atau lawan demi mendapatkan harta. Bumi dibasahi darah dan menjadi rosak akibat tangan jahat yang mengotorinya sesuka hati demi mengumpul harta untuk kesenangan diri. Manusia boleh berdiri di atas mayat orang lain kerana harta yang dikejar. Dunia ketawa girang melihat manusia bersifatkan iblis terus mengganas demi mencari sebanyak mungkin harta yang tersimpan dalam perut bumi. Dunia bertepuk sorak memerhati manusia bersikap lebih ganas daripada binatang kerana begitu bernafsu mengejar harta sehingga sanggup melanggari batas agama dan sanggup mengenepikan sifat kemanusiaan. Harta yang bersarang dikepalanya menyebabkan akhirat terus dilupa. Bahagiakah si kaya tanpa agama, bahagiakah si pembolot harta tanpa sifat kemanusiaan, bahagiakah si penimbun harta tanpa kasih sayang, bahagiakah si pengejar harta tanpa kemuliaan yang meletakkan dirinya di tempat yang baik di kalangan masyarakat sekelilingnya.




-----------------------------------------------------------------------------------------------------

             Dunia menawarkan takhta sehingga ramai bertukar sifat daripada lembut kepada ganas demi mengejar atau menjaga takhta yang ada. Takhta merubahkan keadaan diri pemiliknya daripada seorang yang jujur dan amanah kepada pengkhianat dan perosak apabila agama diketepikan. Banyak kerosakan di muka bumi dilakukan oleh mereka yang memiliki takhta tetapi tidak pandai menggunakannya untuk keselamataan dan kesejahteraan dunia akibat dirinya lebih cenderong kepada mendengar hasutan syaitan daripada  mengikut suluhan wahyu. Melalui takhta ramai yang mengumpul dua tipuan dunia yang lain iaitu wanita dan harta demi memuaskan nafsu yang tidak kunjung padam malah semakin membara. 
             Setelah melihat betapa kuat dan bahayanya tipuan dunia yang banyak mengheret umat manusia ke lembah kehinaan maka berhati-hatilah kita agar kebahagiaan yang hakiki berasaskan  agama terus kukuh dalam diri. Jangan biarkan diri kita turut dihanyutkan oleh ombak ganas dunia yang menghempas kuat cuba menghakis agama daripada diri kita. Ingatlah hari akhirat yang pasti datang di mana di sana tiada lagi erti penyesalan. Biarlah godaan dunia yang mempesonakan datang mencuba di hadapan mata saban hari tetapi diri kita tetap ingat bahawa itu semua akan musnah. Jangan biarkan diri kita musnah bersama tipuan dunia yang akan menjahanamkan diri kita. 

No comments:

Post a Comment